Talasemia
ialah sejenis penyakit anemia yang juga penyakit keturunan. Walaupun
biasa terdapat di kawasan Mediteranean, penyakit ini juga didapati di
India dan Asia Tenggara. Talasemia boleh diwarisi oleh anak jika
kedua-dua ibu dan bapa mempunyai gen yang terlibat. Walaupun kedua-dua
ibu bapa tidak menghidap anemia, kebarangkalian anak menghidapinya
ialah satu per empat. Anak yang menghidap talasemia tidak boleh
menghasilkan hemoglobin yang normal, iaitu bahan yang menghasilkan warna
merah dalam sel darah merah dan merupakan bahan pembawa oksigen ke
seluruh tubuh badan. Masalah ini ketara semasa anak menjangkau tiga
bulan. Pada masa ini, tanda-tanda penyakit anemia mula muncul seperti
kelesuan, sesak nafas dan pucat. Lama-kelamaan anak akan semakin
kekurangan tenaga dan mengalami kesukaran menyusu. Bahagian abdomennya
juga akan menjadi besar disebabkan pembesaran limpa dan hati.
Tanda-tanda
- Kelesuan.
- Bibir, lidah, tangan, kaki dan bahagian lain berwarna pucat.
- Sesak nafas.
- Hilang selera makan dan bengkak di bahagian abdomen.
Apakah yang boleh dilakukan?
Doktor
akan mengambil contoh darah untuk diuji. Jika penyakit talasemia
disyaki, anak akan dirujuk ke hospital untuk dilakukan ujian lanjutan.
Jika anak disahkan menghidap penyakit ini, pemindahan darah biasanya
diperlukan untuk mengelak anak daripada mengalami kesan buruk penyakit
anemia.
Apabila
anak sudah cukup besar, anak mungkin perlu menjalani pembedahan untuk
membuang limpanya. Ini akan mengurangkan kekerapan pemindahan darah
kerana kekerapan pemindahan darah akan menimbulkan masalah lain, iaitu
ferum boleh berkumpul di dalam tubuh badan dan merosakkan hati,
pankreas dan jantung. "Lebihan ferum" ini merupakan ancaman utama
penyakit ini dan ramai pesakit menemui ajal mereka semasa remaja. Kini
rawatan baru memberi masa depan yang lebih cerah bagi pesakit.
Kanak-kanak yang menghidap talasemia kini menerima suntikan ubat yang
dapat membantu tubuh badan membuang ferum. Dalam beberapa keadaan,
rawatan ini dilakukan secara suntikan yang berterusan pada waktu malam.
Anak yang menghidap talasemia harus boleh menjalani kehidupan yang
normal.
Kegiatannya
tidak perlu dihadkan tetapi dia memerlukan bantuan dan sokongan. Minta
nasihat doktor dan cuba berhubung dengan keluarga lain yang juga ada
anak yang menghidap talasemia.
Jika
anda tergolong dalam kumpulan yang berkemungkinan besar menjadi
pembawa penyakit ini, pastikan anda dan pasangan menjalani ujian darah
sebelum anda membuat keputusan untuk mendapatkan anak. Ujian untuk
memnetukan kemungkinan bayi dalam kandungan menghidap penyakit tersebut
boleh dilakukan.
Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 232.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar